Kerajaan Negeri Pahang telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kawalan Keselamatan Penggunaan Racun Makhluk Perosak untuk mengawal penggunaan racun makhluk perosak dalam sektor perladangan sayur dan buah di negeri tersebut.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata jawatankuasa tersebut ditubuhkan menerusi persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada Selasa.
“Jawatankuasa ini mempunyai lima objektif untuk ditubuhkan termasuk menyelaras dan mengawal selia aktiviti-aktiviti pemantauan penggunaan racun makhluk perosak, memastikan kawalan penggunaan racun makhluk perosak bermula dari ladang sehingga di pasaran serta melaksanakan program latihan dalam kalangan pengusaha dan pengendali racun makhluk perosak.
“Selain itu, objektif lain penubuhan jawatankuasa ini termasuk meningkatkan kerjasama di antara agensi yang terlibat di sepanjang rantaian bekalan bermula dari ladang hingga ke pasaran dan menyelaras dan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan mengikut fungsi agensi masing-masing,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau menyatakan harapan agar Kerajaan Negeri dapat memastikan sayur dan buah yang berada di pasaran selamat dimakan dan mematuhi perundangan dengan penubuhan jawatankuasa ini.
Wan Rosdy turut memaklumkan bahawa jawatankuasa ini dipengerusikan oleh EXCO Kerja Raya, Pengangkutan Dan Kesihatan Negeri Pahang, Razali Kassim bersama lapan ahli jawatankuasa yang lain.
Ahli lain yang turut menganggotai Jawatankuasa berkenaan termasuk Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pembangunan), Ketua Polis Pahang, Pengarah Pertanian Negeri Pahang, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang, Pegawai Daerah Cameron Highlands, YDP Majlis Daerah Cameron Highlands dan Pengarah FAMA Negeri Pahang.
Baca juga: