PETALING JAYA: Kerajaan Malaysia sedang memantau dengan teliti perkembangan di Amerika Syarikat susulan keputusan Mahkamah Agung negara itu yang membatalkan tarif import dikenakan Presiden Donald Trump.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan menilai secara mendalam kesan undang-undang serta dasar terkini yang mungkin mempengaruhi hubungan perdagangan Malaysia-AS.
Menurut beliau, meskipun Malaysia telah menandatangani perjanjian perdagangan timbal balas dengan Washington tahun lalu, perjanjian itu masih belum diratifikasi.
Johari berkata, AS masih mempunyai mekanisme undang-undang lain untuk mengenakan tarif secara sepihak termasuk langkah perdagangan alternatif.
“Miti sedang mengkaji skop dan implikasi pengumuman terbaharu mengenai tarif 10 peratus ke atas semua barangan import.
“Kita menunggu kejelasan lanjut berhubung pelaksanaannya,” katanya dalam kenyataan dipetik FMT.
Beliau berkata, Amerika Syarikat kekal sebagai antara rakan dagang utama Malaysia dengan jumlah perdagangan mencecah RM367 bilion tahun lalu termasuk RM233 bilion eksport ke negara itu.
Johari berkata, komitmen Malaysia terhadap amalan perdagangan terbuka dan berasaskan peraturan bagi memastikan persekitaran perniagaan yang stabil serta melindungi kepentingan pengeksport dan pelabur.
Semalam, Mahkamah Agung AS dalam keputusan majoriti enam-lawan-tiga memutuskan Trump telah melampaui kuasa di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) ketika mengenakan tarif berkenaan.
Susulan itu, Trump dilaporkan menyatakan hasrat untuk mengenakan tarif seragam 10 peratus ke atas semua import menggunakan kuasa berasingan.
Malaysia dan AS sebelum ini menandatangani perjanjian perdagangan timbal balas ketika lawatan Trump ke Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN tahun lalu.








