Kerajaan pastikan ekosistem internet lebih selamat buat pengguna

PETALING JAYA: Sempena Hari Keselamatan Internet 2025, Kementerian Komunikasi Malaysia mengumumkan langkah-langkah penting untuk memperkukuh keselamatan dalam talian.

Ia termasuk menyediakan ruang digital yang lebih selamat untuk rakyat Malaysia.

Kementerian Komunikasi dalam kenyataannya berkata, kerajaan komited untuk melindungi pengguna internet terutamanya kanak-kanak dan keluarga.

“Antara fokus utama kempen keselamatan dalam talian adalah melarang kanak-kanak di bawah 13 tahun daripada memiliki akaun media sosial serta memastikan penggunaan internet berada di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga.

“Selain itu, kempen ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai penipuan dalam talian, judi dalam talian, buli siber dan jenayah pedofilia serta menggalakkan penggunaan internet secara selamat dan beretika,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya lagi, jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian akan dilaksanakan di lebih 10,000 sekolah dan universiti awam di seluruh negara.

“Kerjaaan berharap agar seluruh rakyat Malaysia dapat memberikan sokongan penuh terhadap usaha-usaha yang dilaksanakan.

“Serta mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk melindungi diri serta keluarga daripada sebarang ancaman dalam talian,” katanya.

Anda Mungkin Berminat