PETALING JAYA: Dalam usaha memperkukuh ekonomi negara, kerajaan kini memberi tumpuan kepada tiga aspek utama untuk mempercepat pembangunan sumber pertumbuhan baharu yang berpotensi meningkatkan pendapatan negara.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya saing di peringkat global.
Beliau berkata, antara langkah utama yang diambil termasuk merombak struktur ekonomi agar lebih fleksibel dan inovatif serta meneroka sektor baharu yang mampu menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi.
Kerajaan juga katanya, mengenal pasti peranan penting syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi lain dalam menyumbang kepada hasil negara dan menjadikan mereka sebagai tonggak utama dalam usaha ini.
Rafizi turut menjelaskan bahawa Kementerian Ekonomi sedang memuktamadkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang akan menjadi panduan dasar bersepadu untuk melonjakkan ekonomi ke tahap lebih tinggi.
“Fokus utama rancangan ini adalah mengurangkan pergantungan kepada satu atau dua sumber pendapatan.
“Memastikan keseimbangan fiskal negara dan mengelakkan beban percukaian berlebihan kepada rakyat.
“Matlamat utama adalah untuk memastikan ekonomi negara lebih tahan terhadap ketidaktentuan global, sambil membuka peluang baharu yang dapat meningkatkan daya tahan ekonomi,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Rosni Sohar di Dewan Negara.
RMK-13 juga memberi perhatian kepada sektor baharu yang berpotensi menjadi pemacu utama ekonomi, menjadikan Malaysia lebih bersedia menghadapi cabaran global.