PUTRAJAYA: Kerajaan sedang memperhalusi penentuan garis pemisah yang sesuai bagi mengenal pasti golongan layak menerima subsidi petrol dan kumpulan yang boleh dikeluarkan daripada sistem subsidi dalam usaha melaksanakan mekanisme subsidi lebih bersasar.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan mahu memastikan pelaksanaan subsidi bersasar dilakukan secara adil tanpa memberi kesan mengejut kepada golongan yang masih memerlukan bantuan.
Menurut beliau, antara cabaran utama ketika ini ialah menentukan tahap ambang yang tepat bagi membezakan kumpulan penerima subsidi dan mereka yang tidak lagi layak.
“Dalam usaha menyampaikan subsidi kepada kumpulan sasaran, kita juga tidak mahu sehingga memberi kejutan ketara kepada kumpulan yang mungkin masih memerlukan sokongan atau belum bersedia untuk beralih sepenuhnya,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Isnin.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata kerajaan masih meneliti mekanisme terbaik berhubung cadangan penyasaran semula subsidi petrol bagi golongan berpendapatan tinggi.
Menurut Anwar, perbincangan mengenainya telah dilakukan oleh beberapa kementerian dan jawatankuasa berkaitan sejak beberapa minggu lalu, namun kerajaan belum memutuskan sama ada pelaksanaan itu akan melibatkan kumpulan T20, T15 atau kategori lain.

Mengulas lanjut, Akmal berkata isu tersebut turut dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) susulan komitmen kerajaan untuk menambah baik kaedah pemberian subsidi agar lebih efektif dan tepat kepada golongan memerlukan.
Katanya, kerajaan turut mempertimbangkan pandangan pelbagai pihak termasuk akademik yang berpandangan subsidi tidak lagi sesuai diberikan secara pukul rata.
“Kita sebelum ini turut meneliti pengurusan kuantiti bekalan yang diberikan kepada setiap penerima. Fokus seterusnya ialah memastikan subsidi benar-benar memberi manfaat kepada kumpulan sasaran,” katanya.
Beliau berkata, aspek komunikasi dasar juga diberi perhatian supaya rakyat dapat memahami rasional pelaksanaan subsidi bersasar dengan lebih jelas.
Mengenai tempoh pemuktamadan mekanisme itu, Akmal berkata kerajaan berharap keputusan dapat dibuat sebelum bermulanya bulan baharu memandangkan pelaksanaannya melibatkan kesiapsiagaan sistem.
“Apabila kita mahu membawa perubahan, ia turut membabitkan sistem. Jadi, semuanya bergantung kepada kesiapsiagaan sistem untuk memastikan proses saringan berjalan dengan baik,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan mekanisme baharu itu berkemungkinan dilaksanakan pada awal bulan bagi memudahkan pengurusan dan penyelarasan secara menyeluruh.
Dalam pada itu, Akmal berkata kerajaan sedang mempertimbangkan beberapa dimensi dalam menentukan kategori penerima subsidi termasuk faktor pendapatan dan kriteria lain yang bersesuaian.
Katanya, perincian lanjut termasuk mekanisme rayuan hanya akan diumumkan selepas keputusan muktamad dibuat bagi memastikan pelaksanaannya lebih telus serta diterima baik oleh rakyat.
Baca juga:








