PETALING JAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengambil langkah serius selepas insiden menyayat hati kematian seekor anak gajah di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) pada 11 Mei lalu yang secara tragis berlaku pada Hari Ibu.
Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu menzahirkan rasa dukacita atas kejadian tersebut, di mana seekor anak gajah yang sedang bersama ibunya dirempuh sebuah lori 10 tan yang membawa muatan ayam.
“Kematian seekor anak gajah ini telah menyentuh hati ramai rakyat Malaysia.
“Ia bukan sekadar satu kemalangan tragis tetapi mencerminkan cabaran besar dalam hubungan antara manusia dan alam khususnya usaha kita mengekalkan kelangsungan hidup spesies liar dalam landskap yang semakin terpisah dan kehilangan kesinambungan semula jadi,” kata kementerian itu.
Oleh itu katanya, bagi membendung konflik manusia-gajah itu, Jabatan Perhilitan telah melaksanakan beberapa langkah mitigasi antaranya ialah dengan melaksanakan rondaaan dan pemantauan berkala di kawasan ‘hotspot’ sepanjang lebih 100 kilometer (km) laluan JRTB yang berselekoh dan berpemandangan terhad.
Kedua, katanya, dengan membina tiga unit Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) kekal di Kg. Bukit Sapi – Kg. Batu Reng, RPS Air Banun dan Bersia.
“Pengayaan habitat dengan pembinaan dua jenut tiruan di bawah viaduct Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS) A-PL1 (Hutan Simpan Temengor – Hutan Simpan Amanjaya – Hutan Simpan Belum), Gerik.
“Pemasangan 19 unit papan tanda lintasan gajah di JRTB termasuk dua (2) billboard dan satu (1) papan tanda LED Elephant Crossing Monitoring Device,” katanya.
Jabatan itu turut melaksanakan pemasangan lampu jalan di 16 lokasi berisiko tinggi dengan lapan lokasi tambahan dikenal pasti dan tujuh lokasi baharu bagi pemasangan papan tanda amaran lintasan hidupan liar.
Dalam pada itu, inisiatif menerusi hebahan media sosial turut diaktifkan dengan pemaparan video pendek dan poster lintasan gajah semasa musim perayaan bagi meningkatkan kesedaran kepada pengguna JRTB mengenai tindakan keselamatan sekiranya berlaku pertembungan dengan gajah.
Serta pelbagai lagi solusi serta inisiatif yang dilaksanakan bagi mengukuhkan usaha menangani konflik antara manusia dan gajah.
Menurut NRES, JRTB adalah laluan utama yang merentasi habitat gajah liar antara hutan-hutan utama di Perak dan Kelantan, sekali gus menjadi kawasan berisiko tinggi bagi pertembungan manusia dan hidupan liar.
“Kajian pada tahun 2016 mendapati kawasan keliaran gajah telah berkurangan sebanyak 68 peratus akibat perubahan guna tanah untuk pertanian, perladangan serta pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dan penempatan,” katanya.
Berdasarkan rekod Jabatan PERHILITAN, sebanyak 4,919 aduan konflik manusia-gajah telah dilaporkan dari tahun 2020 hingga 2024, dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM39.4 juta.
Lebih membimbangkan katanya, dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, lapan ekor gajah telah mati akibat kemalangan jalan raya termasuk tiga ekor yang terkorban tahun ini sahaja.