PETALING JAYA: Berucap pada Persidangan GOTRADE 2025 pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan terus memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai tulang belakang ekonomi Malaysia.
Beliau berkata, ianya adalah melalui pelbagai inisiatif termasuk jaminan tambahan, kemudahan pembiayaan serta sokongan terhadap inovasi dan pendigitalan.
“Langkah ini penting bagi memastikan Malaysia mencapai aspirasinya untuk kekal sebagai hab pelaburan yang diyakini di rantau ini, di samping memastikan perusahaan tempatan dan syarikat pemula tidak ketinggalan dalam arus pembangunan ekonomi global,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa PKS tempatan perlu bersedia menghadapi cabaran pasaran antarabangsa dengan pendekatan yang lebih progresif dan inklusif.
“Kita mahu melihat PKS tempatan lebih berdaya saing di pasaran antarabangsa dan harus diingat bahawa haluan masa depan mesti berpaksikan teknologi, kelestarian dan keterangkuman untuk terus berjaya,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kemajuan teknologi bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan yang mendesak.
“Justeru, jangan kita alpa kerana transformasi digital, kecerdasan buatan (AI) dan automasi bukan lagi satu kemewahan tetapi menjadi keperluan utama yang akan menentukan daya saing dan kemajuan negara pada masa hadapan,” katanya.
Persidangan GOTRADE 2025 menjadi medan penting untuk menyatukan suara industri dan kerajaan dalam membentuk hala tuju ekonomi yang lebih inklusif dan berdaya tahan dengan PKS sebagai pemacu utama pertumbuhan.








