Kerajaan Perluas Akses Pembiayaan Perumahan Rakyat – PM

PARLIMEN | Kerajaan MADANI terus memperkukuh komitmen menyediakan perumahan mampu milik dan inklusif dengan memperluas akses pembiayaan kepada rakyat khususnya golongan B40 dan M40 yang masih bergelut untuk memiliki kediaman sendiri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan bahawa berdasarkan Laporan HIES 2022, sebanyak 76.5 peratus isi rumah di Malaysia telah memiliki rumah, manakala 20.3 peratus masih menyewa dan 3.3 peratus menghuni di kuarters.

Beliau berkata, antara inisiatif utama yang digerakkan ialah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), yang memberi jaminan pinjaman kepada mereka yang sukar mendapatkan pembiayaan melalui saluran konvensional.

Katanya, sejak 2008 hingga 31 Mei 2025, sebanyak 88,507 permohonan telah diluluskan dengan nilai jaminan mencecah RM20.9 bilion.

“Pada tahun 2025, dana SJKP ditambah sebanyak RM10 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan meningkat kepada RM30 bilion,” katanya.

Anwar berkata, skim itu memberi peluang kepada pekerja gig, peniaga kecil dan individu tanpa pendapatan tetap untuk memiliki rumah pertama dengan pembiayaan sehingga 120 peratus daripada harga rumah termasuk kos guaman, insurans dan pembelian perabot.

Selain itu katanya, Skim Sewa-Untuk-Beli (Rent-to-Own, RTO) turut diperluaskan di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Program Residensi Rakyat (PRR) kendalian Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menurut beliau, skim itu membolehkan penyewa memiliki rumah secara berperingkat tanpa perlu membayar wang pendahuluan, sekali gus meringankan beban kewangan rakyat.

Setakat ini, katanya, skim RTO PPR telah dilaksanakan di tujuh negeri iaitu Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Anwar menjawab persoalan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hasim, dalam sesi Parlimen pada Khamis, sambil menegaskan bahawa kerajaan akan terus menambah baik dasar perumahan agar lebih ramai rakyat mampu memiliki rumah yang selesa dan berkualiti.

Anda Mungkin Berminat