Kerajaan Perpaduan sudah cukup kukuh, tiada keperluan untuk bentuk kerajaan baharu

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Kerajaan Perpaduan kukuh selain menyifatkan memiliki bumbung atap konkrit yang sukar ‘ditebuk’.

Menurutnya, kekuatan itu juga menyaksikan tiada keperluan untuk melaksanakan gabungan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan bawah satu organisasi.

“Bumbung kita adalah bumbung konkrit. Orang yang fikir nak tebuk atap, mentalitinya tebuk atap. Jika itu (tindakan tebuk atap) yang dibimbangi, biarlah format yang ada (terus) dicuba.

“Ini kerana setiap parti dalam kerajaan mempunyai kerjasama baik. Sepanjang setahun Kerajaan Madani, belum pernah dalam Jemaah Menteri bertelagah atas nama perbezaan politik.

“Maka percubaan ini berhasil. Jadi insya-ALLAH kita ada kekuatan dan akan membuatkan segala percubaan pembangkang yang terdesak, akan gagal,” katanya pada Sesi Dialog Madani sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di sini pada Ahad lapor Sinar Harian.

Beliau memberi reaksi itu ketika disoal sama ada semua parti politik dalam kerajaan bergabung bawah satu entiti bagi mengelakkan berlakunya kejadian ‘tebuk atap’ untuk membentuk kerajaan baharu.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesemua 18 parti politik dalam kerajaan memberikan dukungan penuh kepada Anwar bukan hanya soal prinsip tetapi juga soal pelaksanaan.

Anda Mungkin Berminat