Kerajaan Persekutuan belanja RM1.19 bilion laksana projek pembangunan untuk rakyat Terengganu

Kerajaan Persekutuan membelanjakan sebanyak RM1.19 bilion untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Terengganu tahun ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Pembangunan negeri (JPN), Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, Abdul Kahar Abdul Latif, memberitahu, sebanyak 407 projek termasuk pembinaan dua hospital iaitu Hospital Kemaman dan Dungun membabitkan peruntukan sebanyak RM594.24 juta.

Katanya, Terengganu mencatat kedudukan keempat tertinggi mendahului negeri lain terutama dari segi prestasi perbelanjaan dalam Rolling Plan Ketiga (RP3) dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

“Setakat ini, sebanyak RM1.19 bilion dibelanjakan daripada keseluruhan peruntukan berjumlah RM1.39 bilion dengan peratusan perbelanjaan sebanyak 85.49 peratus.

“Tahun lalu sebanyak RM1.37 bilion diluluskan kerajaan persekutuan untuk melaksanakan 365 pelbagai projek di Terengganu,” katanya ketika berucap pada program Sesi Ramah Mesra JPN bersama Media di Kuala Terengganu pada Sabtu lapor Harian Metro.

Yang turut hadir adalah Pengarah Penerangan negeri, Sait Yaman dan Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT), Ahmad Syafri Husnaini Mohamad.

Mengulas lanjut, Abdul Kahar berkata, kerajaan persekutuan melalui pelbagai agensi dan kementerian meluluskan sebanyak RM39.76 juta untuk melaksanakan projek kecil, termasuk penyelenggaraan jalan, longkang, dewan orang ramai, masjid dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta ameniti sosial lain.

Katanya, antara masjid yang dalam pembinaan adalah Pusat Islam Bandar Ketengah Jaya membabitkan peruntukan sebanyak RM11.19 juta, Masjid Kampung Langgar Hulu Terengganu (RM5.3 juta) dan Masjid Kuala Kubang di Jabi, Besut (RM2.87 juta).

“Selain melaksanakan program pembangunan fizikal, JPN turut menyelaras pelaksanaan kesejahteraan rakyat bertujuan menoktahkan kemiskinan di Terengganu.

“Statistik terkini menunjukkan sebanyak 6,506 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar dan 24,740 miskin didaftarkan melalui sistem e-Kasih di seluruh Terengganu,” katanya.

Anda Mungkin Berminat