KUALA LUMPUR: Kerajaan kini sedang menilai keperluan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang masih berada di Iran susulan konflik ketenteraan antara negara itu dan Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan bahawa sehingga kini, belum ada sebarang tindakan pemindahan dilakukan walaupun Iran telah diserang oleh rejim Zionis.
“Belum lagi,” katanya ringkas ketika ditanya pemberita berhubung status rakyat Malaysia di Iran.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Simposium Sasana 2025 dan melancarkan Hab Inovasi Aset Digital di Bank Negara Malaysia, Sasana Kijang, hari ini.
Pada 13 Jun lalu, Israel melancarkan serangan ke atas kemudahan nuklear dan infrastruktur ketenteraan Iran yang menyebabkan harga minyak global melonjak secara mendadak.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan pendirian Malaysia untuk terus mempertahankan hak Iran dalam melindungi kedaulatan negaranya.
Menurut beliau, Iran berhak untuk bertindak balas bagi mempertahankan maruah dan keselamatan negara selepas diserang rejim Zionis.