Oleh: Kamilia Ali
PARLIMEN: Penetapan harga benih padi merupakan langkah strategik bagi melindungi kepentingan pesawah dan memastikan perbezaan harga antara negeri mengikut dinamik pasaran harga setempat, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan penyelarasan harga padi di seluruh negara setelah kajian terperinci mengenai penyelarasan harga baru dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Kajian ini bertujuan memastikan kestabilan harga padi di semua kawasan dan membantu meningkatkan pendapatan secara adil.
“Apa-apa pun perubahan pesawah tetap akan diutamakan,” katanya dalam Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut menjawab soalan mengenai kenaikan harga padi oleh Sabri Azit (PN – Jerai) yang menyatakan bahawa reformasi besar dan penting berkaitan padi sedang dilakukan bersama dengan agensi lain seperti Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
“MyCC telah membuat kajian lebih daripada tujuh bulan dan akan mengeluarkan hasil kajian ini, mengambil kira semua pandangan untuk membuat satu reformasi besar.
“Semua wakil rakyat perlu menyokong peningkatan industri padi dan beras di Malaysia,” katanya.
Susulan pengumuman pada bulan Oktober lalu, Mohamad berkata, harga pembelian padi turun daripada RM1,800 kepada RM1,400.
Tambahnya, kerajaan akan terus melaksanakan pembaharuan dengan bantuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM) berkaitan harga padi untuk menangani isu yang tidak berkesudahan ini.
Baca juga: