SENDAYAN: Kerajaan Persekutuan memperkukuh komitmen terhadap pembangunan syiar Islam dengan memperuntukkan RM42.3 juta bagi mempertingkat kebajikan petugas agama serta memperkuat institusi keagamaan di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seramai 7,091 guru KAFA, imam masjid kariah, guru takmir serta petugas masjid akan menerima manfaat daripada inisiatif tersebut.
“Kita telah naikkan elaun guru KAFA, imam masjid kariah, guru takmir dan petugas masjid dengan implikasi kewangan RM42.3 juta,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan itu digerakkan melalui agensi di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai usaha berterusan memperkukuh syiar Islam di negara ini.
“Sokongan turut merangkumi institusi pendidikan Islam seperti pondok, tahfiz dan sekolah agama dengan peruntukan tambahan RM5.4 juta,” katanya.
Kerajaan berkata, langkah itu bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan rakyat tetapi juga memastikan pembangunan negara berjalan seiring dengan pengukuhan nilai agama dan tradisi Islam.








