Kerajaan Pinda Kanun Keseksaan 2025, Pembuli Berdepan Hukuman Penjara Sehingga 10 Tahun

PETALING JAYA: Kerajaan telah melaksanakan pindaan penting terhadap Kanun Keseksaan melalui Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 [Akta A1750] sebagai langkah tegas untuk menangani kes buli, gangguan, ancaman, penghinaan serta penyalahgunaan identiti termasuk yang berlaku dalam talian.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pindaan tersebut melibatkan penambahan seksyen baharu iaitu 507B hingga 507G yang turut merangkumi kesalahan provokasi sehingga mendorong cubaan atau tindakan membunuh diri.

“Jika orang yang diprovokasi cuba untuk membunuh diri atau membunuh diri akibat provokasi itu, hukuman bagi kesalahan ialah pemenjaraan bagi suatu tempoh yang boleh dilanjutkan hingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurut Azalina, pindaan terhadap akta ini telah mendapat Perkenan Diraja pada 25 Februari 2025 dan diwartakan secara rasmi pada 7 Mac 2025.

Beliau berkata, undang-undang ini kini berkuat kuasa dan menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk meneliti serta mematuhinya.

Jelasnya, sekiranya terdapat kekeliruan atau keperluan penjelasan lanjut, orang ramai digesa mendapatkan maklumat sah terus daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri atau Jabatan Bantuan Guaman yang menyediakan khidmat penerangan secara percuma.

Azalina turut menyeru semua kementerian, agensi, pertubuhan dan institusi agar sentiasa mengemaskini pengetahuan warga kerja masing-masing berkenaan perkembangan undang-undang semasa.

“Perlu diingat, kejahilan berkenaan undang-undang bukan sebuah alasan di sisi undang-undang.

“Kefahaman yang jelas terhadap hak dan tanggungjawab di bawah undang-undang merupakan langkah pertama bagi membina masyarakat yang lebih selamat, beretika dan berperikemanusiaan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat