Kerajaan Pinda Peraturan Benar Peniaga Mikro, Kecil F&B Guna LPG Subsidi

PARLIMEN | Kerajaan kini dalam proses meminda Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 bagi membolehkan peniaga mikro dan kecil dalam sektor makanan dan minuman (F&B) menggunakan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi, sekali gus memberi kelegaan kepada golongan peniaga kecil yang terkesan dengan kos operasi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sesi libat urus sedang dijalankan sehingga 31 Oktober bagi mendapatkan cadangan, pandangan dan memorandum daripada semua pihak berkepentingan sebelum pindaan dimuktamadkan.

“Mekanisme kawalan akan turut dilaksana bagi mengelak ketirisan, memandangkan terdapat kes pindahan gas (decanting) oleh pihak tertentu yang memanipulasi subsidi dalam sektor F&B.

“Insya-Allah, kita akan terus beri subsidi LPG bukan sahaja untuk kegunaan domestik, malah kepada peniaga mikro dan kecil F&B,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Armizan menjawab soalan tambahan daripada Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN–Rantau Panjang) berhubung kajian penggunaan tong gas ungu (gred komersial) khusus untuk perniagaan dan premis makanan.

Ketika ini, katanya, peraturan mengehadkan pemilikan dan penggunaan LPG bersubsidi melebihi 42 kilogram pada satu-satu masa tanpa permit termasuk bagi pengguna komersial seperti restoran dan gerai makan.

Menjawab soalan lain daripada Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN–Tampin) mengenai tindakan undang-undang terhadap kesalahan berkaitan LPG, Armizan memaklumkan bahawa kempen penguatkuasaan Op Gasak yang dilancarkan pada 1 Mei lalu memberi tumpuan kepada aktiviti pindahan gas dan ketirisan dalam sektor industri.

Beliau berkata, sejak pelaksanaan Op Gasak, sebanyak 168 kes penyelewengan LPG telah direkodkan dengan nilai rampasan mencecah RM5.2 juta, menunjukkan komitmen kerajaan dalam membanteras penyalahgunaan subsidi.

Anda Mungkin Berminat