KUALA LUMPUR: Di tengah ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia mengambil langkah berhemah dan strategik apabila Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkannya sebagai keputusan proaktif berpandukan unjuran ekonomi dan inflasi semasa yang teliti.
“Langkah ini berhemah dan proaktif di tengah ketidaktentuan ekonomi global, berpandukan unjuran ekonomi dan inflasi semasa yang teliti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Mengakui cabaran sektor eksport yang sedang dihadapi, Perdana Menteri berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif sokongan.
Katanya, antara usaha tersebut ialah Skim Jaminan Pembiayaan untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta langkah meneroka pasaran baharu yang lebih luas.
Anwar berkata, di sebalik ketidaktentuan ekonomi dunia, reformasi di bawah kerangka Ekonomi MADANI terus menunjukkan hasil memberangsangkan.
Menjelang Mei 2025, kadar inflasi negara dilaporkan telah turun ke paras 1.2 peratus iaitu terendah dalam tempoh 51 bulan.
Sementara itu, tambahnya, kadar penyertaan tenaga buruh mencatat rekod baharu pada 70.8 peratus.
Perdana Menteri turut berkata bahawa usaha reformasi perlu diteruskan demi merencana masa depan Malaysia yang lebih sejahtera.
“Kita mesti terus mara dalam reformasi merencana masa depan negara kerana di sebalik cabaran, ada ruang untuk maju disandarkan tatakelola lebih baik, inovasi berani dan semangat juang yang utuh,” katanya.