PETALING JAYA: Kerajaan dengan kerjasama Commercial Affairs Department (CAD) Singapura berjaya memulihkan aset bernilai RM39.1 juta berkaitan Low Taek Jho atau Jho Low dan ahli keluarganya.
Wang itu telah dipindahkan ke Akaun Amanah Pemulihan Aset 1MDB.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan berkata, pemulihan tersebut adalah sebahagian daripada penyelesaian global pelucuthakan sivil ke atas Jho Low yang dilaksanakan Department of Justice (DOJ) Amerika Syarikat.
“Selain itu, akaun-akaun lain milik ahli keluarga Jho Low juga dijadualkan untuk dipulangkan dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.

SPRM menjelaskan, perkembangan ini termasuk penyelesaian RM1.4 bilion dengan JPMorgan Chase & Co. baru-baru ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan aset yang berjaya dipulangkan kepada Malaysia berkaitan skandal 1MDB kini mencecah RM31.19 bilion.
Kejayaan itu, katanya, mencerminkan usaha berterusan kerajaan melalui Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (Multi-Agency Task Force) yang diketuai SPRM dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
“Usaha ini turut diperkukuh dengan kerjasama erat pihak berkuasa antarabangsa, khususnya dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura dan Perancis, di bawah kerangka Bantuan Perundangan Bersama (MLA),” jelas SPRM.
Sebagai rekod, pada 26 Jun tahun lalu, DOJ mengumumkan penyelesaian global pelucuthakan sivil ke atas Jho Low yang membawa kepada pemulihan aset melebihi RM421.7 juta.
Secara keseluruhan, pihak berkuasa Amerika Syarikat telah memperoleh lebih RM6.33 bilion berkaitan Jho Low, sebahagian besarnya sudah dipulangkan kepada Malaysia.
Baca juga: