Kerajaan Pusat Selesaikan Pampasan Tanah Tertunggak Negeri Sembilan

NILAI: Kerajaan Persekutuan bersetuju melunaskan bayaran pampasan premium tanah tertunggak kepada Kerajaan Negeri Sembilan melibatkan kawasan Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam selepas isu berkenaan berlarutan sejak bertahun-tahun.

“Sudah puluhan tahun tidak dapat diselesaikan. Kerajaan Madani mengambil tanggungjawab, kita bayar semula kepada Negeri Sembilan. Terima kasih kepada Menteri Besar dan kepimpinan negeri yang mempunyai wawasan untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Madani Rakyat Negeri Sembilan di Dataran Nilai, yang turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Terdahulu, Negeri Sembilan berdepan isu pembayaran premium tanah seluas 6,653 hektar bernilai RM2.16 bilion di Pusat Latihan Gabungan Pasukan Tempur kem berkenaan sejak 2014, melibatkan rundingan dengan Kementerian Pertahanan.

Dalam ucapannya, Anwar turut menegaskan kepentingan rakyat menguasai transformasi digital agar tidak berlaku jurang teknologi dalam masyarakat.

“Penguasaan ilmu baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) amat penting bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing negara. Namun, dalam mengejar teknologi baharu, rakyat perlu tetap mempertahankan nilai budaya serta jati diri.

“Menggapai di langit, mengakar di bumi. Jika kita tidak berpijak di bumi nyata, kita akan kehilangan jati diri dan sahsiah,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat