Kerajaan Rangka Skim Baharu Lindungi Pekerja Luar Waktu Kerja – Anwar

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) bagi memperluaskan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja di luar waktu bekerja, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, skim berkenaan digubal mengambil kira perubahan konsep kerja masa kini yang lebih fleksibel, termasuk kerja jarak jauh.

“Tekanan kerja tidak lagi terhenti di pintu pejabat atau kilang. Dalam era kerja fleksibel, perlindungan perlu selari dengan realiti kehidupan semasa. Yang paling penting, ia akan meliputi kemalangan atau kecederaan tanpa terikat pada jadual waktu tertentu,” katanya ketika merasmikan Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Ketika ini, pekerja hanya dilindungi menerusi dua skim di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 iaitu Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan. SKBBK pula akan memberi liputan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, termasuk kemalangan di luar konteks pekerjaan.

Anwar menegaskan, perlindungan sosial tidak harus dilihat sekadar sistem birokrasi pemberian faedah, tetapi dianggap sebagai “infrastruktur moral” yang menjamin kebajikan rakyat.

Beliau turut menarik perhatian kepada cabaran penuaan penduduk negara. Menjelang 2030, satu daripada tujuh rakyat Malaysia dijangka berusia lebih 60 tahun.

“Warga emas membawa kebijaksanaan dan pengalaman. Tugas kita bukan sekadar menyediakan penjagaan, tetapi juga memastikan mereka terus menyumbang, agar proses penuaan dilihat sebagai fasa bermaruah dan penuh potensi,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat