Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kerajaan Madani menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyalurkan peruntukan bantuan bencana kepada Kerajaan Negeri Selangor berjumlah RM14.7 juta bagi tahun ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Ketua Pengarah NADMA Datuk Khairul Shahril Idrus dan berkata peruntukan itu merupakan pemberian RM1,000 untuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat bencana dan RM10,000 buat BWI kematian kepada waris mangsa bencana yang kehilangan nyawa.
“Bantuan ini turut disediakan bagi membantu KIR mangsa bencana yang terjejas akibat kebakaran paip gas di Putra Heights, Pejabat Daerah dan Tanah Petaling selaku Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah akan mengagihkan bantuan berdasarkan senarai nama KIR mangsa bencana yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Setiap rumah yang terkesan akibat bencana ini turut menerima bantuan tunai berjumlah RM10,000 yang disalurkan kepada pemilik rumah yang musnah sepenuhnya, iaitu RM5,000 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM5,000 daripada pihak Petronas.
“Manakala pemilik yang rumahnya separa musnah menerima sumbangan sebanyak RM5,000, iaitu RM2,500 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM2,500 daripada pihak Petronas,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Selangor turut bersetuju memberikan bantuan sewaan sebanyak RM2,000 sebulan selama 6 bulan kepada setiap keluarga yang terkesan bagi membolehkan mereka menyewa rumah sementara rumahnya sedang dibaiki atau dibina semula.
Kata Khairul, peruntukan terbabit mencerminkan tanda keprihatinan Kerajaan Madani terhadap mangsa-mangsa bencana di Putra Heights.
“Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah memberi sumbangan dan bagi melicinkan proses pengagihan bantuan.
“Semua sumbangan hendaklah disalurkan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor,” kata beliau.
Baca juga: