Kerajaan Salur Lebih RM6.6 Juta Pulih Cerun LRA, MB Kelantan Ucap Terima Kasih

TANAH MERAH: Kerajaan Negeri Kelantan menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan atas kelulusan peruntukan RM6.61 juta bagi kerja baik pulih cerun runtuh di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah, susulan insiden tanah runtuh November lalu.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, inisiatif berkenaan telah mendapat maklum balas positif bagi melakukan kerja-kerja baik pulih cerun terbabit.

“Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kelulusan yang amat bermakna ini buat rakyat bagi memastikan masalah ini dapat diatasi dengan segera,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, kejadian pada 26 November 2024 itu berpunca daripada hujan lebat berterusan yang mengakibatkan pergerakan tanah sepanjang 130 meter.

Ia menyebabkan kerosakan serius terhadap struktur ‘sheetpile’ dan menjejaskan kemudahan penting termasuk paip air mentah dan terawat, bilik klorin, tangki bahan kimia serta sub-stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Bagi tindakan awal, Nassuruddin berkata, kerajaan Negeri telah meluluskan RM235,000 bagi pelaksanaan Kajian Siasatan Tanah dan Kajian Ukur Terperinci oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Inisiatif pantas itu mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan, yang meluluskan peruntukan lebih RM6.6 juta bagi kerja baik pulih, sekali gus memperlihatkan semangat kerjasama yang tinggi antara dua kerajaan.

“Suara rakyat akan terus dibawa dengan semangat budaya politik matang dan sejahtera yang juga menzahirkan semangat federalisme yang tinggi antara kerajaan negeri dan persekutuan demi kebaikan rakyat,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat