Kerajaan Salur RM100 SARA Kepada 22 Juta Rakyat Mulai 9 Februari – PM

PETALING JAYA: Sempena ketibaan bulan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina, Kerajaan MADANI akan menyalurkan Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

Bantuan itu dijangka memanfaatkan kira-kira 22 juta penerima dan akan mula dikreditkan pada 9 Februari 2026.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Perutusan Tahun Baharu 2026 berkata, bantuan tersebut bertujuan meringankan beban rakyat serta memberi sokongan dalam membuat persiapan menjelang musim perayaan.

“SARA tahun ini untuk semua rakyat 22 juta kita akan kreditkan pada 9 Februari 2026 ini dengan maksud adalah persiapan Ramadan dan Tahun Baharu Cina,” katanya.

Anwar menyampaikan pengumuman itu ketika perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana di Putrajaya pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan peluasan pelaksanaan program MySARA dengan memberi tumpuan kepada penyertaan peniaga kecil khususnya di kawasan kampung dan luar bandar.

Langkah itu diambil susulan maklum balas bahawa masih ramai peniaga kecil dan pemilik kedai runcit belum berdaftar dalam sistem sedia ada.

Selain SARA, kerajaan juga akan menyalurkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Satu sehingga RM500 bermula 20 Januari 2026 sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan membantu rakyat menghadapi kos sara hidup.

Anda Mungkin Berminat