KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa terkesan dengan bencana banjir yang melanda Sabah dan mengarahkan seluruh jentera Kerajaan MADANI digerakkan segera bagi membantu rakyat terjejas.
Beliau berkata, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan keselamatan, kebajikan dan kelangsungan hidup mangsa banjir terjamin, selain memastikan bantuan sampai tanpa sebarang gangguan.
“Selain peruntukan sebanyak RM11 juta yang telah disalurkan melalui kerajaan negeri, saya turut meluluskan peruntukan segera RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi pembaikan kemudahan asas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, pada Isnin.
Menurut Anwar, Kerajaan MADANI komited memastikan setiap keluarga yang terkesan menerima bantuan segera, manakala semua pihak digesa bersatu dan berpadu tenaga membantu mangsa banjir.
“Zahirkan semangat kebersamaan dan kepedulian serta tanggungjawab bersama dalam menempuh ujian dahsyat ini,” katanya.








