PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dengan menyalurkan RM57 juta merangkumi Bantuan Wang Isan serta peruntukan pengoperasian bencana. Langkah ini bertujuan memastikan tindakan mitigasi banjir lebih tersusun dan berkesan.
Dalam Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, beliau menekankan kepentingan pengurusan banjir yang cekap demi kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, sebagai langkah awal, aset penyelamat dan logistik digerakkan lebih awal bagi menghadapi taburan hujan luar biasa akibat fenomena La Niña.
“Selain kesiapsiagaan banjir, STAR turut meneliti penambahbaikan berimpak tinggi dalam perkhidmatan awam, termasuk peningkatan keupayaan makmal pengujian dadah dan pengawalan makmal swasta bagi mempercepatkan pengesahan ujian daripada 60–90 hari kepada sasaran 10 hari” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam aspek komunikasi, Kementerian Komunikasi membentangkan pelan pemerkasaan Unit Komunikasi Korporat (UKK) di kementerian dan agensi, bagi memastikan mesej dasar kerajaan sampai kepada rakyat dengan tepat, seragam dan tuntas.
“Kerajaan komited memastikan persediaan banjir dan mitigasi La Niña dilaksanakan dengan cepat, cekap dan berimpak,” katanya lagi.
Baca juga:








