PUTRAJAYA: Kerajaan menyambut baik penilaian terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap prestasi ekonomi Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia khususnya ketika dunia terus berdepan ketidaktentuan akibat kelembapan ekonomi global, konflik geopolitik dan tekanan kos sara hidup.
“Saya menyambut baik penilaian IMF terhadap ekonomi Malaysia.
“Dalam keadaan dunia yang semakin mencabar, keutamaan kita kini terus tertumpu pada usaha memastikan kestabilan ekonomi tidak hanya diterjemah dengan bertanggungjawab, malah mesti dirasai rakyat, melalui sektor dan peluang pekerjaan yang terjamin serta adil, dan keyakinan yang tinggi terhadap masa depan,” katanya dalam kenyataan di media malam tadi.
IMF dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, Malaysia menunjukkan daya tahan ekonomi yang ketara terhadap ketegangan perdagangan global dan ketidaktentuan dasar, disokong penggunaan dan pelaburan domestik yang kukuh, pertumbuhan pekerjaan dan kitaran peningkatan sektor teknologi global.

Sebelum ini, Malaysia telah mencatat pemulihan ekonomi secara berperingkat pasca pandemik COVID-19, dengan kerajaan melaksanakan pelbagai langkah fiskal dan pembaharuan struktur bagi merangsang pertumbuhan serta melindungi golongan rentan.
Usaha ini diteruskan di bawah kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan, keadilan sosial dan kemampanan.
Sehubungan itu, Kerajaan MADANI akan terus mengurus kewangan awam secara berhemah serta mempercepat pelaksanaan pembaharuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), bagi memastikan pertumbuhan yang dibina adalah kukuh, berdaya tahan dan memberi manfaat menyeluruh kepada seluruh rakyat Malaysia.
Baca juga:








