Kerajaan Sasar Turun Kadar Air Tidak Terhasil Ke 28.8 Peratus Menjelang 2030

PARLIMEN | Kerajaan menetapkan sasaran baharu untuk menurunkan kadar Air Tidak Terhasil (Non-Revenue Water, NRW) ke tahap 28.8 peratus menjelang tahun 2030, melalui pelaksanaan Program NRW Kebangsaan yang diperkukuh dengan peruntukan besar serta pendekatan menyeluruh.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, usaha pengurangan NRW memerlukan pelaburan berterusan, namun kemampuan operator air sering terhad akibat kadar tarif semasa yang tidak mencerminkan kos operasi sebenar.

“Bagi mengekalkan atau menurunkan kadar Air Tidak Terhasil (NRW), inisiatif pengurangan NRW perlu dilaksanakan secara berterusan dan memerlukan pelaburan yang amat besar.

“Walau bagaimanapun, kedudukan kewangan operator air yang kurang mampan berikutan kadar tarif air sedia ada yang masih tidak menggambarkan kos operasi sebenar telah menghadkan kemampuan operator air untuk melaksanakan program pengurangan NRW secara menyeluruh,” katanya ketika menjawab soalan Tuan Ibrahim Tuan Man (Kubang Kerian) di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021 telah menjejaskan pelaksanaan program yang dirancang, menyebabkan sebahagian sasaran di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) tidak dapat dicapai.

Cadangan penambahbaikan Program NRW Kebangsaan telah diluluskan Jemaah Menteri pada Julai 2024 dengan peruntukan RM2.525 bilion bagi tempoh 2025 hingga 2030.

Dana itu disalurkan melalui Rolling Plan Kelima (RP5, RMKe-12) bermula tahun 2025.

Program tersebut dilaksanakan melalui dua pendekatan utama.

Pendekatan pertama melibatkan penggantian paip kritikal di seluruh negara serta penyelesaian NRW secara holistik di enam negeri iaitu Pahang, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pendekatan kedua pula meneruskan pemberian imbuhan balik kepada operator air dengan pengenalan kadar prorata bagi menggalakkan penyertaan lebih meluas.

Fadillah berkata, tanggungjawab perancangan dan pembangunan infrastruktur bekalan air termasuk usaha mengurangkan NRW terletak di bawah operator air negeri.

Pelarasan tarif air melalui Tariff Setting Mechanism 2 (TSM 2) yang bermula Ogos 2025 dijangka membantu meningkatkan aliran tunai operator air, sekali gus memperkukuh usaha pengurangan NRW.

“Operator air perlu memainkan peranan secara proaktif dan berkesan dalam memastikan sasaran pengurangan NRW yang telah ditetapkan dapat dicapai,” katanya.

Dengan langkah itu, kerajaan optimis sasaran 28.8 peratus NRW menjelang 2030 dapat direalisasikan, sekali gus meningkatkan kecekapan bekalan air negara.

Anda Mungkin Berminat