PARLIMEN | Kerajaan kini sedang giat meneroka potensi tenaga nuklear sebagai salah satu sumber utama bagi penjanaan elektrik negara dalam usaha memastikan bekalan tenaga kekal stabil, bersih dan boleh dipercayai.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama erat antara Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
“Kerajaan melalui PETRA dan MOSTI sedang meneroka tenaga nuklear sebagai antara pilihan utama dalam memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil, bersih dan boleh dipercayai,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa kajian prakebolehlaksanaan berkaitan penggunaan tenaga nuklear telah pun disiapkan dengan dapatan awal menunjukkan potensi besar untuk diaplikasikan di negara ini.
Sebagai langkah lanjut, katanya, MOSTI mencadangkan penubuhan enam Pasukan Petugas Teknikal untuk memperincikan pelan pelaksanaan tenaga nuklear secara bertanggungjawab dan selamat.
“Daripada jumlah itu, tiga pasukan ditugaskan di bawah MOSTI, melibatkan bidang Teknologi dan Pembangunan Industri, Pembangunan Kompetensi dan Kepakaran Nuklear serta Rangka Kerja Perundangan dan Kawal Selia,” katanya.
Kata Lih Kang, Malaysia kini memiliki sejumlah 323 pegawai penyelidik di Agensi Nuklear Malaysia dan 36 pegawai sains di Jabatan Tenaga Atom yang aktif dalam pelbagai bidang teknologi nuklear.
Tambahnya, seramai 61 daripada mereka memiliki kelulusan dalam bidang Sains dan Kejuruteraan Nuklear.
“Situasi ini mencerminkan komitmen berterusan negara dalam membangunkan kapasiti kepakaran tempatan bagi menyokong kemajuan teknologi nuklear secara selamat dan bertanggungjawab,” katanya.
Dalam perkembangan antarabangsa, Malaysia turut mengukuhkan kerjasama teknikal dengan beberapa negara dan organisasi global.
Pada 10 Julai 2025, kerajaan memeterai Perjanjian Kerjasama Strategik Nuklear Awam dengan Amerika Syarikat, yang dilihat sebagai pemangkin kepada pembangunan jangka panjang keupayaan tenaga nuklear negara.
Tambah beliau, Malaysia juga menjalin hubungan rapat dengan China dan Rusia bagi memperkukuh program tenaga nuklear negara selain bekerjasama dengan Suruhanjaya Persediaan bagi Triti Pengharaman Menyeluruh Ujian Letupan Nuklear (CTBTO) untuk mengesan sebarang ujian senjata nuklear dan menggunakan data saintifik bagi pemantauan gempa bumi dan tsunami.
“Kerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) turut diperkukuh melalui pelbagai inisiatif berkaitan pembangunan kapasiti dan keselamatan teknologi nuklear selari dengan agenda pembangunan mampan negara,” katanya lagi.








