Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kerajaan Selangor menzahirkan akur terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengarahkan supaya pembukaan ladang babi di negeri itu dihentikan sepenuhnya.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya telah menerima titah berkenaan dan komited untuk melaksanakannya dengan sebaik mungkin.
“Kita akan laksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Rabu.
Sebelum ini, media melaporkan Sultan Sharafuddin tidak berkenan aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor berikutan kebimbangan terhadap risiko pencemaran alam sekitar serta keresahan dalam kalangan masyarakat.
Menurut kenyataan Pejabat Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, penternakan babi berpotensi menyebabkan pencemaran udara akibat bau yang kurang menyenangkan selain mencemarkan sungai melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan, sekali gus menjejaskan sumber air bersih.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa meskipun kaedah penternakan moden mampu mengurangkan risiko pencemaran, kos pelaksanaannya adalah tinggi dan tidak menjamin sepenuhnya keselamatan alam sekitar.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin menegaskan penternakan babi tidak wajar diteruskan sekiranya ia dilaksanakan di kawasan yang menimbulkan kegelisahan serta bantahan penduduk.
Beliau berkata, kerajaan tidak menghalang aktiviti penternakan babi secara keseluruhan, namun isu tersebut perlu ditangani secara rasional dengan mengambil kira aspek kesihatan awam, kebersihan serta keharmonian komuniti setempat.
Baca juga:








