Kerajaan Selangor Arah Siasatan Program “Glamping With Pride” di Hulu Langat

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan siasatan dijalankan terhadap penganjuran program Glamping With Pride yang dijadual berlangsung di Hulu Langat pada minggu hadapan.

EXCO Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi, berkata kerajaan negeri memandang serius sebarang aktiviti yang bercanggah dengan nilai serta sensitiviti masyarakat setempat.

Menurut beliau, pihaknya telah menghubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung penganjuran program berkenaan.

“Saya telah berhubung dengan pihak polis dan JAIS mengenai perkara ini. Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mempromosikan budaya songsang.

“Langkah ini penting bagi memastikan akhlak dan moral masyarakat terus terpelihara serta tidak terpengaruh dengan unsur yang bercanggah dengan nilai tempatan,” katanya, seperti dipetik Selangorkini.

Beliau mengulas laporan berhubung rancangan sebuah kumpulan untuk meneruskan penganjuran program Glamping With Pride pada hujung minggu depan, meskipun menerima bantahan daripada pelbagai pihak.

Program berkenaan dilaporkan dianjurkan oleh sebuah kumpulan pro lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ) dikenali sebagai Jejaka, dan digambarkan sebagai sebuah program retreat berasaskan komuniti.

Berdasarkan maklumat yang dikongsikan penganjur, program selama dua hari itu memberi tumpuan kepada aspek kesejahteraan, sokongan rakan sebaya dan kesedaran kesihatan.

Bagaimanapun, kumpulan terbabit mendakwa program tersebut hanya melibatkan aktiviti perkhemahan di lokasi berdaftar dan tidak melanggar undang-undang sedia ada di Malaysia.

Sebelum ini, pelbagai pihak menggesa agar pihak berkuasa menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap penganjuran program yang didakwa tidak bermoral dan menormalisasi ideologi gender.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat