Kerajaan Selangor henti lesen baharu ternakan babi

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor menghentikan pemberian lesen baharu bagi penternakan babi di seluruh negeri itu serta merta selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu diambil dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang untuk membincangkan isu tersebut, berikutan titah baginda yang tidak memperkenankan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.

Kata beliau, sejak Januari lalu, kerajaan negeri telah menghentikan pengeluaran lesen penternakan babi baharu dan memberi tumpuan kepada usaha pengosongan ladang sedia ada di Tanjong Sepat, sebagai langkah awal menghormati titah Sultan Selangor yang dinyatakan sebelum ini.

“Bagi ladang-ladang penternakan yang masih beroperasi, kerajaan negeri akan melaksanakan penutupan secara berperingkat dengan kerjasama Jabatan Veterinar Negeri Selangor,” katanya.

Amirudin menambah, kira-kira 70 peratus keperluan daging babi untuk masyarakat bukan Islam di Selangor telah dipenuhi melalui import dari negeri lain.

“Selepas keputusan ini, keseluruhan keperluan tempatan akan diimport sepenuhnya oleh industri berkenaan,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, sebarang pengeluaran dan kelulusan lesen import akan dirujuk kepada Kerajaan Persekutuan, selaras dengan kuasa pemberian lesen di peringkat nasional.

Keputusan ini diambil dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat, terutama berkaitan kebimbangan terhadap impak ladang babi terhadap alam sekitar seperti pencemaran air dan bau.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar menghentikan sebarang polemik mengenai isu penternakan babi bagi memastikan keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di Selangor terus terpelihara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat