SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor komited menyelesaikan isu peneroka bandar di Jalan Papan, Pandamaran yang berlarutan lebih 25 tahun, melalui pendekatan lebih terancang dan berperikemanusiaan, kata EXCO Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah.
Beliau berkata pelbagai keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), rundingan bersama pemaju dan penduduk serta proses mahkamah telah berlangsung sejak tanah seluas kira-kira 95 ekar itu diberimilikan kepada TPPT Sdn Bhd pada 1995 bagi pembangunan perumahan kos rendah.
“Kerajaan Negeri sejak awal berusaha mencari penyelesaian yang adil dan berhemah, termasuk menangguhkan tindakan perobohan dan membuka semula ruang rundingan bersama pihak terlibat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Menurutnya, ketetapan MMKN pada 2018 sebelum ini mengarahkan Melati Ehsan Consolidated Sdn Bhd (MECSB) menyediakan komponen Rumah Selangorku bagi menempatkan 181 peneroka berdaftar, namun proses itu memerlukan beberapa siri rundingan lanjutan.
Pada 2021, MMKN turut bersetuju menawarkan penempatan semula merangkumi rumah teres berharga RM99,000 kepada 123 peneroka, manakala 58 lagi ditawarkan Rumah Selangorku Jenis B berkeluasan 800 kaki persegi.
Namun pada September lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengesahkan perintah pengosongan terhadap 48 peneroka yang hadir ke mahkamah, sekali gus mendorong kerajaan negeri membuka rundingan baharu bersama MECSB pada 9 Oktober untuk mencari jalan penyelesaian lebih teratur.
“Dalam mesyuarat khas dipengerusikan Menteri Besar pada 21 Oktober, kerajaan bersetuju supaya MECSB menyerahkan tanah dianggarkan lapan ekar, dan kerja perobohan hanya dibenarkan ke atas struktur kosong tanpa penghuni,” katanya.
Beliau berkata surat rasmi telah dihantar kepada pemaju pada 11 November bagi mengesahkan komitmen tersebut, manakala MECSB melalui wakil guaman menyatakan kesediaan menyerahkan tujuh ekar tanah serta beberapa lot tambahan bagi tapak pemindahan rumah ibadat.
“Penyerahan ini membolehkan kerajaan negeri merangka pembangunan pangsapuri sebagai penyelesaian jangka panjang.
“Dalam masa sama, Skim Smart Sewa turut ditawarkan sebagai penempatan sementara, dan kerajaan memberi jaminan tiada peneroka akan dibiarkan tanpa tempat tinggal,” ujarnya lagi.
Baca juga:








