Kerajaan Selangor, PDRM & KPM Akan Perkasa Keselamatan Sekolah

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor akan memberi keutamaan kepada isu keselamatan sekolah susulan insiden tragis melibatkan seorang pelajar perempuan yang maut ditikam oleh pelajar lelaki di SMK Bandar Utama Damansara (4) pagi tadi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pendidikan serta komuniti setempat bagi mempertingkatkan tahap keselamatan di semua sekolah.

“Sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kita. Kerajaan Negeri akan memastikan tindakan segera diambil untuk menjamin keselamatan pelajar di sekolah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Amirudin, perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi menetapkan langkah segera, termasuk usaha keselamatan dan sokongan kesihatan mental pelajar.

“Perkara ini akan menjadi keutamaan dalam mesyuarat MMKN, dan beberapa langkah akan diputuskan segera bagi memastikan keselamatan semua anak-anak kita di sekolah,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka diberi kekuatan menghadapi tragedi berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor mengesahkan kes tersebut sedang disiasat dan menegaskan bahawa ia tidak melibatkan sebarang unsur perkauman.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat