Kerajaan setuju pinda Kanun Keseksaan, Tatacara Jenayah atasi buli siber

Oleh: Kamilia Ali

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri mencapai persetujuan asas untuk meminda Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah dalam usaha menangani masalah buli siber.

Menurut Jurucakap Kerajaan, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, satu rang undang-undang (RUU) akan dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat kali ini.

“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah meluluskan secara dasar siri pindaan Kanun Keseksaan dan juga Kanun Tatacara Jenayah berkaitan isu buli siber akan dibawa ke Parlimen.

“Selain itu, satu rang undang-undang yang dinamakan Keselamatan Dalam Talian (Online Safety Act) juga akan dibawa ke Parlimen untuk memastikan bahawa secara keseluruhannya, internet kita menjadi lebih selamat terutamanya untuk kanak-kanak dan keluarga,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menegaskan bahawa secara keseluruhannya, itu adalah langkah yang perlu diambil untuk mengenakan tindakan yang lebih tegas terhadap mereka yang melakukan buli siber.

“Berdasarkan dapatan kajian oleh kerajaan, tidak ada takrif yang tepat bagi jenayah buli termasuk buli siber. Ini yang akan dibawa dalam sidang Parlimen kali ini dan dijangka menjelang awal Disember akan dibentang bagi bacaan kali kedua,” jelasnya.

Sementara itu, Fahmi memuat naik satu hantaran di Facebook dan menekankan bahawa Kerajaan MADANI tegas dalam usaha memastikan keselamatan dalam talian untuk seluruh rakyat Malaysia.

Jelasnya, penjenayah siber tidak boleh dibiarkan untuk mengambil kesempatan memporak-perandakan negara dan terus melakukan aktiviti jenayah di platform media sosial secara berleluasa.

“Seiring menjamin perkhidmatan Internet yang lebih murah, lebih meluas serta lebih laju, Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian akan dibentangkan di Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

“RUU tersebut bertujuan mengekang aktiviti jenayah di media sosial dan bukannya menyekat kebebasan bersuara,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat