Kerajaan Setuju Tubuh Ombudsman Malaysia, RUU Dibentang Awal 2026

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju menubuhkan Ombudsman Malaysia sebagai agensi pusat bagi mengurus dan menyelesaikan aduan awam dengan mandat yang lebih menyeluruh merangkumi isu salah tadbir, salah laku, perlindungan pemberi maklumat serta kebebasan maklumat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) Siri 8 yang dipengerusikannya pada pagi ini, selaras dengan usaha memperkukuh keberkesanan dan integriti pentadbiran kerajaan serta perkhidmatan awam.

“Penubuhan ini menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh hak rakyat serta memelihara integriti sektor awam.

“Rang Undang-Undang Ombudsman Malaysia dijadual dibentangkan pada awal 2026,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, mesyuarat turut bersetuju meningkatkan pematuhan korporat dalam kalangan syarikat yang mengurus dana awam bagi memastikan mandat sosial mereka dilaksanakan mengikut standard tadbir urus yang baik serta berlandaskan kerangka undang-undang yang lebih tersusun.

Ia termasuk cadangan menggubal undang-undang baharu bagi menyelaras Perusahaan yang Dimiliki atau Dikawal oleh Kerajaan (SOE), termasuk anak syarikat badan berkanun.

Menurut Anwar, segala persetujuan yang dicapai itu mencerminkan iltizam teguh Kerajaan MADANI untuk terus memacu reformasi institusi, dasar dan perundangan secara holistik bagi mengukuhkan keyakinan rakyat serta pelabur terhadap ketelusan pentadbiran negara dan mutu perkhidmatan awam.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat