Kerajaan Siap Siaga Hadapi Impak Krisis Tenaga Global – Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan bahawa tahap sekuriti makanan negara kekal stabil dalam jangka pendek meskipun dunia kini berdepan krisis tenaga global yang memberi tekanan besar kepada rantaian bekalan makanan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bekalan makanan asas negara setakat ini mencukupi, malah bagi beberapa komoditi utama Malaysia mempunyai lebihan.

“Sebagai contoh, bekalan beras dijangka mencukupi sehingga hujung tahun dengan sokongan stok penimbal sekitar 300,000 metrik tan yang sentiasa dipantau,” katanya ketika berkongsi perkembangan semasa pada Selasa.

Beliau turut menjelaskan bahawa bekalan ayam dan telur kekal terkawal berikutan tahap sara diri negara yang hampir mencapai 100 peratus bagi kedua-dua komoditi itu.

Namun, Mohamad Sabu mengakui cabaran utama ketika ini adalah peningkatan kos makanan ternakan seperti jagung dan soya yang masih bergantung sepenuhnya kepada import.

“Apabila kos pengangkutan meningkat akibat krisis tenaga, ia secara langsung memberi kesan kepada harga makanan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyatakan terdapat situasi lambakan sayur-sayuran yang menyebabkan harga jatuh, sekali gus memberi manfaat kepada pengguna tetapi menekan pendapatan petani.

Menurutnya, kerajaan kini sedang menyusun langkah termasuk penjadualan tanaman dan sistem ladang kontrak bagi menstabilkan harga di pasaran.

Selain itu katanya, bekalan ikan turut diberi perhatian berikutan kesan cuaca panas akibat fenomena El Nino serta peningkatan kos diesel yang menjejaskan operasi nelayan khususnya vesel laut dalam.

“Kerajaan sedang meneliti langkah terbaik termasuk memperkukuh sektor akuakultur sebagai alternatif bekalan,” katanya.

Beliau berkata, kesan krisis tenaga global terhadap sektor pertanian dijangka berlaku secara berperingkat dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, melibatkan peningkatan kos baja, operasi jentera serta logistik.

“Kerajaan telah mengambil langkah awal mitigasi termasuk memperkukuh stok penimbal beras, membuka kawasan sawah baharu, membangunkan industri jagung tempatan serta memperkenalkan inisiatif seperti Rancangan Buku Hijau 2.0 bagi menggalakkan rakyat menanam makanan sendiri,” katanya.

Anda Mungkin Berminat