Kerajaan suntik insentif RM200 bantu 240,000 pesawah depani masalah kemarau

Oleh: Tyah Helmi

PUTRAJAYA: Kerajaan Madani sekali lagi ke hadapan apabila menyuntik insentif RM200 bagi membantu 240,000 pesawah depani masalah kemarau di saat krisis tenaga global.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) bagi memastikan aktiviti penanaman padi tidak terjejas.

Anwar menjelaskan, pendahuluan insentif itu penting demi membantu pesawah menampung kos awal termasuk sewaan jentera serta kerja-kerja pembajakan, susulan kenaikan harga diesel komersial dan tekanan kos akibat konflik Asia Barat.

“Keluhan pesawah telah didengari.

“Sebelum ini, kerajaan telah meningkatkan kadar insentif pembajakan daripada RM160 kepada RM300 sehektar seperti diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, pada 14 April lalu.

“MTEN bersetuju memberikan pendahuluan RM200 supaya pesawah dapat meneruskan kerja pembajakan yang memerlukan modal segera. Langkah ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM48 juta dan akan memanfaatkan 240,000 pesawah berdaftar,” katanya dalam Sidang Media Krisis Bekalan Global hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat di dalam Sidang Media Krisis Bekalan Global pada Selasa.

Bukan itu sahaja, beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Madani turut mengarahkan tindakan segera pembenihan awam bagi menangani isu kekurangan air khususnya di utara Semenanjung.

Katanya, kawasan yang terjejas turut akan dipergiatkan dengan operasi pembenihan awam.

Selain itu, yang mempunyai keupayaan berkaitan turut diminta meneruskan bantuan dalam tempoh beberapa hari ini.

Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk sektor pertanian, khususnya penanaman padi, sekali gus menjamin kelangsungan pengeluaran makanan negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat