Kerajaan Suntik RM20 Juta Bantu PMKS Tempatan Melalui Ekonomi Digital

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Kerajaan Madani terus memperkukuh sokongan terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan dengan suntikan dana RM20 juta ke dalam ekonomi digital menerusi kempen ‘JomLokal Booster Stimulus Package’.

Inisiatif itu bertujuan meningkatkan produktiviti PMKS serta memperluas capaian produk buatan Malaysia melalui platform e-dagang TikTok Shop.

Pengarah Kanan Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz berkata, kerjasama antara kerajaan dan TikTok Shop menjadi pemangkin kepada pertumbuhan mampan produk tempatan.

“Dengan ‘JomLokal Booster Stimulus Package’ bernilai RM20 juta ini, kami memperkukuh lagi komitmen untuk mengekalkan ekosistem e-dagang yang inklusif dengan melabur semula ke dalam ekonomi digital Malaysia serta komuniti tempatan kami,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Malaysia Bangkit.

Majlis pelancaran inisiatif tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Fuziah Salleh, yang menekankan pentingnya kesiapsiagaan usahawan tempatan dalam menerima inovasi digital.

“Kami mengalu-alukan komitmen berterusan TikTok Shop dalam membangunkan ekosistem e-dagang inklusif, yang membolehkan rakyat Malaysia menjana pendapatan mampan secara dalam talian,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan ‘JomLokal’ sebagai lebih daripada sekadar platform jualan, sebaliknya satu saluran untuk membina masyarakat digital yang inklusif, patriotik dan berdaya saing.

“Saya yakin dengan usaha berterusan, kita mampu meletakkan Malaysia sebagai negara contoh yang berjaya menyatukan teknologi, keusahawanan dan identiti kebangsaan dalam satu kerangka yang unik,” tambahnya.

Untuk menyertai ‘JomLokal Booster Stimulus Package’, PMKS perlu mempunyai penyenaraian produk aktif dengan kurang daripada 200 pesanan bulanan dan nilai dagangan kasar (GMV) di bawah RM1,000 di TikTok Shop.

“Setiap penjual yang layak akan menerima pengecualian yuran komisen bernilai RM1,000 sehingga 120 hari serta Baucar Promosi Iklan bernilai RM50 yang ditanggung oleh platform,” ujarnya.

Berbeza dengan Program Faedah Penjual Baharu TikTok Shop yang terbuka kepada semua, ‘JomLokal’ memberi sokongan tambahan khusus kepada PMKS melalui pengecualian yuran dan promosi iklan.

Antara ciri menarik lain termasuk penajaan iklan sepanduk carian dalam aplikasi TikTok, yang akan memaparkan produk buatan Malaysia apabila pengguna mencari kata kunci berkaitan meningkatkan pendedahan dan trafik sepanjang tahun.

Lebih istimewa, PMKS yang menyertai turut layak menggunakan mana-mana ‘TikTok Shop LIVE Hub’ di seluruh negara secara percuma, sehingga 10 sesi dua jam setiap satu.

“Tempahan awal melalui akaun rasmi @stesenliveiks adalah diperlukan, tertakluk kepada ketersediaan yang berdasarkan ‘siapa cepat, dia dapat’,” katanya.

PMKS yang berminat boleh menyertai melalui laman rasmi TikTok Shop, manakala maklumat lanjut tentang inisiatif boleh didapati di
https://vt.tiktok.com/ZSALqUU6v/ .

Anda Mungkin Berminat