Kerajaan Tangguh Kenaikan Tol 10 Lebuh Raya, Tanggung Kos Lebih RM500 Juta

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya di seluruh negara bagi memastikan rakyat terus menikmati kadar tol sedia ada, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, antara lebuh raya terlibat ialah Lebuhraya Senai–Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuhraya Kuala Lumpur–Putrajaya (MEX).

Menurut beliau, susulan keputusan itu, kerajaan akan menanggung kos melebihi RM500 juta bagi menampung penangguhan kenaikan kadar tol berkenaan.

“Ini membabitkan beberapa lebuh raya di Putrajaya, Perak dan beberapa lokasi lain,” katanya ketika mengumumkan inisiatif Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi saluran media utama, hari ini.

Anwar turut memaklumkan bahawa pengumuman terakhir mengekalkan kadar tol sebelum ini dibuat pada April 2022, melibatkan empat lebuh raya di Lembah Klang sehingga tamat tempoh konsesi.

Empat lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damansara–Puchong (LDP).

Selain penangguhan kenaikan kadar tol, kerajaan sejak 2023 turut melaksanakan pelbagai inisiatif meringankan beban rakyat, termasuk pemberian tol percuma serta diskaun tol 50 peratus sempena musim perayaan utama di negara ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat