PETALING JAYA: Dalam usaha memastikan tiada rakyat tercicir daripada menikmati subsidi petrol bersasar BUDI95, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan penukaran cip MyKad rosak secara percuma bermula 23 September hingga 7 Oktober 2025.
Kemudahan itu boleh didapati di semua pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara tanpa sebarang bayaran sebagai langkah memastikan akses subsidi berjalan lancar tanpa gangguan teknikal.
“Kerajaan MADANI menanggung sepenuhnya kos penukaran cip rosak ini supaya rakyat tidak menghadapi masalah teknikal ketika mengakses subsidi BUDI95.
“Setiap warganegara layak mesti dapat menikmati manfaat dengan lancar,” kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan.
Mengikut rekod JPN, katanya, sebanyak 294,715 permohonan penggantian MyKad rosak telah diterima dari Januari hingga Ogos 2025 dengan peningkatan ketara dalam tiga bulan terakhir.
Saifuddin berkata, lebih 45,000 kes direkodkan pada Ogos sahaja, manakala sehingga 21 September, sebanyak 22,858 permohonan dicatatkan.
Beliau berkata, purata bulanan kini mencecah sekitar 43,000 permohonan dan kerajaan menganggarkan kos penggantian percuma ini berjumlah RM714,660 termasuk perbelanjaan berkaitan.

Saifuddin turut mengingatkan rakyat agar menjaga MyKad dalam keadaan baik kerana ia bukan sahaja dokumen pengenalan diri tetapi juga kunci kepada pelbagai kemudahan kerajaan.
“Inisiatif ini mencerminkan prinsip kepedulian dan inklusiviti Kerajaan MADANI.
“Tiada seorang pun rakyat Malaysia akan dibiarkan tercicir daripada manfaat subsidi hanya kerana masalah cip rosak,” katanya lagi.
Program BUDI95 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan harga subsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter bermula 30 September sebagai penghargaan kepada semua lapisan rakyat termasuk golongan M40 dan T20.








