PARLIMEN | Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sentiasa bertindak tegas dalam mengawal aktiviti penyeludupan haram daging khinzir dari luar negara khususnya dari kawasan yang mempunyai wabak berbahaya seperti ‘Streptococcus Suis dan African Swine Fever’ (ASF).
Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Malaysia, Datuk Arthur Kurup, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berjaya mengesan beberapa cubaan penyeludupan haram daging khinzir dengan jumlah tangkapan sebanyak 24 kes dan kuantiti dagangan adalah sebanyak 640 tan metrik.

“Pihak DVS pula telah berjaya melaksanakan 18 kes rampasan yang melibatkan pemindahan karkas babi tanpa kebenaran dan rampasan di premis jualan atau simpanan karkas babi sejuk beku yang disyaki diimport tanpa kebenaran di negeri Kelantan, Selangor, Johor , Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak 114 tan metrik karkas dengan nilai anggaran keseluruhan rampasan berjumlah RM3.05 juta,” katanya di sidang Parlimen di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan yang diutarakan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.
Jelas Arthur, kerajaan sekali lagi menegaskan bahawa sebarang kemasukan daging khinzir secara tidak sah akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
“Tindakan tegas di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728), termasuk denda yang tinggi dan tindakan mahkamah ke atas pihak yang didapati bersalah.
“Selain itu, peruntukan di bawah Akta Binatang 1953 (Akta 647) juga membolehkan pihak DVS mengambil tindakan terhadap isu berkaitan,” ujarnya.
Dalam pada itu, kerajaan turut akan terus memperkukuh penguatkuasaan meningkatkan kerjasama dengan negara jiran, dan menjalankan program kesedaran kepada orang ramai bagi membanteras risiko kemasukan daging haram yang boleh menjejaskan kesihatan awam dan industri penternakan negara.
Baca juga: