Kerajaan Tegas Perangi Ketirisan Subsidi LPG, Hak Rakyat Kekal Terpelihara – Armizan

PARLIMEN | Kerajaan menegaskan bahawa subsidi gas petroleum cecair (LPG) kekal disalurkan kepada rakyat dan tidak akan ditarik balik.

Sebaliknya, usaha kini difokuskan untuk membanteras penyelewengan serta penyeludupan yang menyebabkan ketirisan bantuan itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menolak dakwaan bahawa subsidi tersebut akan dimansuhkan dan menyifatkannya sebagai tidak benar dan berpotensi mengelirukan masyarakat.

“Kerajaan terus komited menyalurkan subsidi silinder LPG kepada rakyat.

“Namun asasnya adalah subsidi dapur rakyat bukan untuk dimanipulasi oleh pihak industri,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, mengenai kemungkinan penarikan subsidi seperti yang dibangkitkan pihak tertentu.

Armizan menjelaskan bahawa subsidi LPG bukan sahaja meringankan kos isi rumah, malah membantu pengusaha kecil dan sederhana, khususnya dalam sektor makanan dan minuman.

“Justeru, peniaga dalam sektor makanan dan minuman perlu memastikan harga yang ditawarkan kekal berpatutan kepada rakyat,” katanya.

Untuk mengekang ketirisan, kerajaan katanya, akan meneruskan operasi khas seperti Ops Gasak bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan penyelewengan.

Armizan berkata, kerajaan juga sedang memperhalusi pindaan terhadap Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Import) 2021 bagi memperkukuh aspek kawal selia penggunaan LPG bersubsidi dalam kalangan peniaga kecil.

“Fokus kita adalah membendung salah guna subsidi, bukan menafikan hak rakyat yang layak,” tegas Armizan.

Anda Mungkin Berminat