Kerajaan Tegas Pertahan Tatakelola Tabung Haji

PARLIMEN | Kerajaan menegaskan komitmen penuh terhadap integriti dan tatakelola Tabung Haji (TH), sambil memastikan setiap keputusan pelaburan dibuat demi kemaslahatan jangka panjang pendeposit dan jemaah haji.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, TH telah mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya memperoleh kontrak jangka panjang bagi tujuh bangunan di Mekah dan tiga bangunan di Madinah, semuanya terletak dalam radius satu kilometer daripada Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

“Ini merupakan kejayaan yang amat dicemburui oleh negara-negara lain kerana lokasi strategik tersebut amat sukar diperoleh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Hussin Ismail dalam sesi pertanyaan di Dewan Negara, bangunan Parlimen, pada Isnin.

Menyentuh cadangan pembelian saham oleh TH, Zulkifli menjelaskan bahawa perkara tersebut masih dalam peringkat kajian dan belum dimuktamadkan.

“Cadangan ini memerlukan kajian yang mendalam agar setiap aspek dapat diperhalusi dengan sebaiknya,” ujar beliau.

Beliau berkata, semua proses pelaburan dan pengurusan aset TH dilaksanakan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib.

“Tabung Haji sentiasa mematuhi tatakelola yang ditetapkan dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan.

“Sekiranya ada pihak yang mendakwa sebaliknya, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan perlu diperbetulkan,” jelasnya.

Zulkifli turut menyeru agar semua pihak memberikan sokongan penuh kepada institusi TH dan menolak sebarang maklumat palsu yang boleh menjejaskan reputasi serta kepercayaan terhadap institusi kebanggaan umat Islam itu.

Anda Mungkin Berminat