Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Kerajaan bersiap sedia mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kehilangan beberapa bahagian tubuh Harimau Malaya, susulan peningkatan insiden ‘roadkill’ sejak tahun 2023.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad menyatakan bahawa sebanyak enam ekor Harimau Malaya telah menjadi mangsa ‘roadkill’, yang menunjukkan gangguan terhadap habitat semula jadi mereka.
“Kini, sebanyak enam ekor Harimau Malaya telah menjadi mangsa ‘roadkill’. Ini menunjukkan bahawa habitat Harimau Malaya telah terganggu hingga terpaksa keluar daripada habitat semula jadinya sendiri.
“Lebih menyedihkan apabila beberapa bahagian Harimau Malaya tersebut termasuk taring, kuku dan kulit telah hilang dan disyaki telah dicuri. Oleh itu, tindakan ini adalah satu kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716],” jelas Nik Nazmi.
Beliau menambah bahawa Akta 716, yang dipinda pada tahun 2022 bertujuan meningkatkan kadar hukuman dan penalti bagi kesalahan berkaitan hidupan liar.
Individu yang disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang daripada RM150,000 bagi setiap hidupan liar atau bahagian atau terbitan hidupan liar itu dan dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun.
“NRES terus komited untuk melindungi dan memulihara Harimau Malaya bagi memastikan spesies ikonik yang menjadi simbol Jata Negara ini tidak pupus buat selama-lamanya.
“Ini adalah selaras dengan pelaksanaan sembilan tindakan strategik luar biasa (extraordinary actions) bagi konservasi Harimau Malaya yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada 21 Jun 2021,” katanya.
Untuk info, ‘roadkill’ merujuk kepada haiwan yang tercedera atau mati akibat perlanggaran dengan kenderaan yang sedang bergerak di jalan raya atau lebuh raya.
Baca lagi.