Kerajaan Tegas Tangani Salah Laku Dana Zakat – Menteri Agama

PETALING JAYA: Kerajaan menegaskan pendirian bahawa tiada ruang untuk kompromi terhadap sebarang bentuk salah guna kuasa, rasuah atau penyelewengan dalam pengurusan dana zakat, yang merupakan amanah besar untuk kebajikan umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, dana zakat mesti diurus dengan penuh integriti, ketelusan dan tanggungjawab, selaras dengan tuntutan syarak dan kepercayaan masyarakat.

“Saya mengambil maklum laporan berhubung dakwaan penyelewengan dana zakat di bawah salah satu agensi agama.

“Saya ingin tegaskan bahawa tiada ruang untuk kompromi atau perlindungan terhadap mana-mana individu yang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, siasatan dalaman telah dimulakan dan laporan rasmi juga telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara bebas dan menyeluruh.

“Tiada sebarang usaha ‘cover up’ akan berlaku. Mana-mana pegawai yang terbukti bersalah akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang,” katanya.

Dr Mohd Na’im turut menghargai keberanian individu dan masyarakat yang tampil melaporkan salah laku tersebut, sambil menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui sebarang bentuk penyelewengan.

“Kita telah berulang kali mengingatkan semua agensi di bawah portfolio Hal Ehwal Agama agar menjaga amanah ini.

“Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja mencemar institusi, malah mengkhianati kepercayaan umat Islam,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus bekerjasama rapat dengan SPRM dan agensi penguat kuasa lain bagi memastikan setiap salah laku ditangani secara tegas dan telus, sejajar dengan prinsip ‘Tiada kompromi terhadap integriti, tiada perlindungan terhadap salah laku’.

Anda Mungkin Berminat