PETALING JAYA: Kerajaan menegaskan pendiriannya untuk tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menunggang isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru sehingga menjejaskan ketenteraman awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, tindakan provokasi yang berlaku semasa proses pengosongan tapak pembangunan bukanlah berpunca daripada penduduk asal, sebaliknya didalangi oleh pihak luar.
“Saya tahu siapa sebenarnya yang berada di luar kawasan itu yang membuat propaganda.
“Semalam (Khamis) saya dimaklumkan perkara itu bukan dilakukan penduduk di situ,” katanya dalam sidang media khas pada Jumaat.
Beliau berkata, kerajaan mahu proses pengosongan yang dijalankan mengikut perintah mahkamah berlangsung secara aman dan teratur, tanpa gangguan luar yang boleh mencetuskan ketegangan.
Dalam masa sama, beliau turut mengecam kenyataan pihak tertentu yang cuba menyamakan situasi di Kampung Sungai Baru dengan konflik luar negara.
“Tidak wajar menyamakan keadaan ini dengan negara lain seperti Indonesia atau Nepal.
“Kita mahu keamanan negara terpelihara, bukan diganggu isu sebegini. Saya tidak akan beri ruang untuk sesiapa menunggang isu ini,” tegasnya.
Terdahulu, proses pengosongan pada Khamis bertukar tegang apabila 15 penduduk enggan berpindah sehingga mencetuskan kekecohan.
Dalam insiden itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman mengalami kecederaan di kepala selepas terkena balingan objek ketika cuba mengawal keadaan.
Dr Zaliha turut berkata, kerajaan bersedia mendengar pandangan semua pihak termasuk penduduk yang tidak bersetuju, namun menekankan bahawa sebarang bantahan perlu disalurkan secara sah melalui proses perundangan.
“Majoriti penduduk, iaitu 72 peratus telah bersetuju projek diteruskan. Kami hanya mahu memudahkan mereka kembali dengan kehidupan lebih baik.
“Ini isu legasi sejak 2021 dan kerajaan hari ini bertanggungjawab menyelesaikannya dengan adil,” katanya.








