Kerajaan Tekad Bawa Dalang Skandal 1MDB ke Muka Pengadilan

PETALING JAYA: Kerajaan menegaskan komitmen berterusan untuk menuntut keadilan dalam kes penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), susulan perkembangan baharu melibatkan dokumen serta individu yang belum pernah dibicarakan di Malaysia.

Menurut Jabatan Peguam Negara, kebimbangan rakyat terhadap peranan Goldman Sachs dalam skandal kewangan terbesar negara kekal tinggi, terutama selepas pendedahan maklumat baharu sejak 2023, susulan pemulangan Roger Ng daripada Amerika Syarikat.

Maklumat tersebut termasuk akses kepada dokumen penting yang sebelum ini tidak diperoleh serta individu berkaitan, antaranya bekas eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner.

Kerajaan menegaskan kesan kewangan dan kerosakan reputasi akibat skandal itu masih dirasai sehingga kini, dan usaha pemulihan hanya akan lengkap apabila semua pihak terlibat dibawa ke muka pengadilan.

“Malaysia tidak akan berputus asa dalam mendapatkan pemulihan yang adil dan wajar daripada perbankan gergasi global serta mereka yang bersekongkol,” menurut kenyataan itu.

Pada 14 Ogos 2024, Malaysia mengemukakan permohonan ekstradisi kepada Amerika Syarikat bagi membawa pulang Leissner untuk dibicarakan di Mahkamah Malaysia.

Permohonan itu kini sedang dipertimbangkan kerajaan Amerika Syarikat, dan Malaysia telah mengemukakan dokumen tambahan yang diminta pihak berkuasa negara tersebut.

Skandal 1MDB, yang terbongkar pada 2015, melibatkan penyelewengan berbilion ringgit dana pelaburan negara dan kekal sebagai antara kes rasuah kewangan terbesar dunia.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat