PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneliti secara mendalam implikasi keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang memihak kepada pertubuhan Sisters In Islam (SIS) dalam cabaran terhadap fatwa yang mengaitkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.
Fatwa itu, yang diwartakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 17 Julai 2014, sebelum ini mengisytiharkan fahaman terbabit sebagai menyeleweng.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kerajaan menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan sebagai institusi kehakiman tertinggi negara.
“Saya menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan akan meneliti keputusan itu secara menyeluruh bagi memastikan kedudukan dan kewibawaan institusi fatwa tidak terjejas dalam jangka panjang.
Tambah beliau, fatwa kekal sebagai rujukan penting umat Islam dalam menangani pelbagai isu semasa.
“Kerjasama antara institusi kehakiman, perundangan dan pihak berkuasa agama amat penting supaya institusi fatwa terus dihormati dalam kerangka Perlembagaan,” jelasnya.
Menerusi pentadbiran Kerajaan MADANI, beliau memberi jaminan bahawa hal ehwal Islam akan terus ditadbir secara adil, berpaksikan prinsip syura dan ilmu.
Katanya, segala dasar agama akan terus berlandaskan kerangka perundangan negara, selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan SIS Forum (Malaysia) untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), sekali gus membatalkan fatwa yang mengaitkan SIS dengan fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam.