Kerajaan Teliti Penaiktarafan Majlis TVET Negara kepada Suruhanjaya – PM

AYER KEROH: Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan menaik taraf Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara kepada Suruhanjaya TVET dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan teknikal secara menyeluruh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa perkara itu dibincangkan bersama Kementerian Kewangan sebagai sebahagian daripada langkah menjayakan transformasi TVET.

“Kita teliti cadangan ini untuk pastikan keutamaan mentransformasikan TVET dapat dilakukan termasuk memastikan keperluan mencukupi bentuk latihan yang baik dan bagaimana kita adakan sinergi antara kerajaan dan swasta.

“Suruhanjaya ini akan memacu transformasi TVET yang kini sudah dikelolakan dengan baik dan meyakinkan,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari TVET Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Sebagai langkah memperkukuh kedudukan tenaga kerja teknikal, Anwar menyambut baik cadangan menaikkan kadar gaji minimum kepada RM3,000 sebulan bagi lepasan TVET.

“Kalau peluang pekerjaan boleh cecah 98 peratus tapi gaji hanya RM1,700, itu tak mencukupi.

“Kita mahu gaji minimum RM3,000 supaya mereka dihargai dan diterima oleh syarikat multinasional dan tempatan,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan juga akan memberi penekanan kepada pembangunan keusahawanan dalam kalangan graduan TVET termasuk menyediakan latihan menerusi kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan.

“Saya akan pastikan kita bersidang secepat mungkin untuk wujudkan sinergi antara syarikat besar dan TVET serta memberi pendedahan kepada pelajar dengan industri baharu,” katanya.

Dalam majlis yang sama, beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan RM40 juta kepada Majlis TVET Negara serta RM10 juta kepada kerajaan negeri Melaka bagi melaksanakan program latihan teknikal dan keusahawanan yang diselaraskan oleh Majlis TVET Negara.

Anda Mungkin Berminat