Kerajaan teliti pindaan undang-undang kes tanah Jalan Duta

PARLIMEN | Kerajaan kini mempertimbangkan pindaan undang-undang berikutan keputusan pengembalian 263.272 ekar (106.54 hektar) tanah di Jalan Duta, Kuala Lumpur bagi mempertahankan kepentingan negara dan kepentingan awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa pindaan tersebut tidak boleh melanggar Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan, sambil menghormati hak pemilikan individu.

Isu tanah ini telah wujud sejak tahun 1956, dengan pampasan sebanyak RM1.4 juta yang melibatkan tanah-tanah seperti Masjid Wilayah Persekutuan, Stadium Hoki, dan Pusat Tennis Tun Razak.

“Sebab itulah kerajaan terus menggunakan jalur undang-undang merayu terhadap keputusan mahkamah dan terakhir keputusan Mahkamah Tinggi untuk menguatkuasa pindah milik kepada syarikat dan kerajaan akan terus merayu,” katanya semasa Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai langkah penyelesaian kerajaan dalam kes Duta Enclave di Mukim Batu, susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan memulangkan semula tanah tersebut kepada Semantan Estate Sdn Bhd, yang membawa implikasi besar kepada negara dari pelbagai aspek.

Anda Mungkin Berminat