PETALING JAYA: Pengerusi Biro Ekonomi & Perdagangan Pemuda AMANAH Nasional, Dr. Ng Rui Wei menyifatkan keputusan kerajaan untuk tidak melaksanakan High Value Goods and Services Tax (HVGT) sebagai langkah tepat.
Ia demi mengekalkan daya saing sektor barangan bernilai tinggi dan pelancongan mewah negara.
Beliau berkata, walaupun HVGT berpotensi menjana RM700 juta setahun, kesan negatifnya terhadap industri dan pelancongan mewah perlu diambil kira.
“Cukai ini mungkin membantutkan perbelanjaan pengguna bernilai tinggi dan mengurangkan minat pelancong asing yang memilih Malaysia sebagai destinasi beli-belah mewah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau menegaskan, pelaksanaan HVGT akan memberi tekanan kepada peniaga tempatan, terutama dalam sektor automotif premium, perabot mewah dan teknologi tinggi, yang berdepan risiko penurunan jualan dan peluang pekerjaan.
Selain itu, katanya, kos pentadbiran dan pemantauan sistem cukai tersebut adalah tinggi kerana memerlukan mekanisme penguatkuasaan yang kompleks bagi memastikan ketelusan dan penilaian yang tepat.
“Bukan sahaja peniaga perlu menaik taraf sistem jualan dan perakaunan, malah risiko cukai bertindih seperti SST dan HVGT boleh menimbulkan ketidakpuasan dalam kalangan pengguna,” ujarnya.
Tambahnya, kerajaan perlu memastikan sebarang sistem cukai baharu dikaji secara menyeluruh agar tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pelabur.
Cadangan HVGT mula diumumkan dalam Belanjawan 2023 yang telah disemak semula dan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Februari 2023.
Baca juga: